* * *
* * *
Telah kau kepung segala bau
mengumpulkan khazanah alam
rimba pekat penuh rahsia
menelan apa saja
yang sedia mendekati.
Sebenarnyalah
terlalu berat buat menakluk kekuasaan
kecuali harapan
berbekalkan azam,
pohonpun kita suburkan lagi
lembah dan bukit serinya merimbun.
Kini, baunya yang dihirup
adalah keazaman terkuat
menerbitkan cahaya
serta wangi yang khas
waktu malam di sini
kunang-kunang pun menjadi bintang
menyerikan alam terbuka
siang cerah
bersama surya
terus mendenyutkan usaha.
Siti Zainon Ismail, 1984
Kembali ke rumahmu, Emmi ~ Siti Zainon Ismail
Semua seperti dulu
meja tulis bekas pensel
almari pakaian jendela dan tali penyidai
sarung baru dibasuh
aku kembali ke rumahmu
Senyuman terhampar di kaca
dakapan anak-anak suami tercinta
terdengar dentingan piring
air menggelegak di cerek
menyediakan air mandi suami
nasi mengembang di tungku
cawan segera ditata
kau sudah sedia untuk hari pertama
tugas seorang isteri
biar kau bijak di kampus
bercanda dan bergosip dengan teman-teman
tapi diam-diam menyimpan kesakitan
di lipatan senyum dan kerdip mata
aku mengutip rahsia
letih dan jenuh seorang isteri.
Kubuka almari
kusentuh sisa kebaya
batik dan selendang
kepingan gambar
memang payah melupa masa lalu.
Dentingan piring
mkanan rapi di meja
bonda baru melayani,
dia yang mengerti
terdengar bisiknya
“ senang menerima kunjunganmu
kerana sehabat lama ibu “
Kupetik haruman taman
Berderaian canda putera-puterimu
segar berdoa
merelakan yang pergi
kau tetap di hati.
Darussalam , April 2002
Rangka Bahasa Daun
Rumput hangus di padang kontang
tanah rata sisa runtuhan gunung dipancung
meranti, jati, medang bergelimpangan
bakau di bagan rebah
mata air kehilangan alur
sebelum hujan ribut taufan
kala perih mata tompokan awan
semakin rawan
lelahnya menyedut limpahan
minyak berkelodak hanyir darah
sisa membarah.
Jangan kau tanyakan perancang kota
merekacipta keindahan silap mata
jambatan bertingkat berekor ular sawa
melingkari kampung lama
akan menelan apa saja
sejarah warisan dibaham rakus nikmatnya
perabung dan dinding sumpik hilang sekelip mata
berganti tiang Yunani balkon Bellini ghairah birokrasi
anjung dan serambi hilang hati nurani.
Begitulah
bahasa daunku bagai hilangnya zikir para Imam
azan bersimpang siur di kota durja
hingga solat juga sibuk memilih
seni bina mewah besar dan cantik
selesai berjemaah kembali sepi tidak dikunjungi .
Lidah inipun tersesat terseliuh
suara bertandak pecah bicara
bahasa halus fikiran tinggi itu bagaimana?
itukah suara berceloteh genit
lancar, lincah melompat tersasul
inilah gaya bahasa makanan segera
seenak rojak dan cendol mamak .
Inilah bahasa daun kini
lancar keluar dari mulus wajah ‘
bergaya di bibir ketawa di meja dunia
sehingga lupalah alur bahasa di kolam asal
terlupa kuntum kecubung putih dan telepuk biru
sanggah jurumasak terkemuka
berlidah salad antarabangsa
lebih tahu pucuk aparagus
salad barcoli perperasa Itali
kami makan segera setiap tengahari
makanan malam pilih menu berhati-hati.
Sesat bahasa daunku ku tiba di percint Putrajaya
dikoyak bibir birokrasi
terseliuh akar pribadi
eeh kalau makan tercari
kedai nasi lauk kampung, meratah ulam raja
kerabu kulat minum teh jamu
setelah pasti tekanan darah tinggi
atau diserang gula airseni.
Bahasa dauhku
adalah almanak murba luka
kita anyam siratan kering di sukma
menjahit perdu hati yang cabik
tatkala perang janji tersangkut di lidah mungkar
antara amanah kemerdekaan
warisan bahasa jiwa
tersiat terlayang entah kemana
katakan padaku
wahai nakhoda Bahtera Merdeka
di manakah dayung moyang kau patah
mengkhiati panji di tiang goyah
panji menjadi busana tari
dipotong dilompati dijahit sesuka hati
tertampalkah robek jiwa
daun bahasa Ibunda?
Kitab perjanjian Demang Lebar Daun
tinggal di pustaka tua
siapakah siap membuka
demi Negara maruah bangsa?
Kepada Lembah Mawar
Telah mereka bawa berita luka
Kau terkapar – sedih dihiris
Kata-kata hanya debu di panas kering. Bila
Pintu ditutup. Di corong asap – muncul kabut ungu!
Sekolam hitam air mata. Sekering daun-daun melayang
Kau dengarkah gendang dipalu oleh tangan tak bermaya
Kilau fatamorgana tak bisa memberikan setitis air.
Saudaraku,
Tiuplah aroma attar itu
Dari Lembah Subur-Mu
Hanya setitis bagai air mata dulu
Tumpah ke setanganku!
Di situ zaman itu – Lembah yang dikunjungi
Pengembara tak mengenal lelah tak menemui garis akhir
Datang dan pergi melewati. Melewati batas pelangi.
Air Kasih tak kering. Tak mana Lembah
Kalau jubahnya basah menakung darah yang tumpah!
Attar Mawarkah
Mengembang cepat
Hingga mereka lupa – luka di dada.
Prof. Madya. Dr. Siti Zainon Ismail
April 1985
Doa
Di pergelangannya: Gelang platina
Tujuh musim memain gerak. Ketika
Ia menabur roti ke padang – sedang
Gagak-gagak berebutan. Kusibak
Kilat senyumnya! Fikir jernih
Di matanya! Apakah hidup hanya
Doa. Sebelum dan sesudah
Memberi ajaran. Dunia
Yang tak selesai dendam
Perkelahian dan tingkah!
Ia mengetuk pintu ke pintu
Memberi dan meninggalkan
Tasbih – Mawar. Witir di hujung
Tangis perpisahan
Yang perlukan
Doanya!
Ia melangkah dan mengheret jubah
Mendaki dan menuruni – Doaku
Adalah untuk mereka yang takut
Gelita malam setelah bosan pada
Cerah siang. Minum, air kasih ini
Duhai manisku. Inilah doa murni
Tuhan telah meletakkan sayang
Tuhan hulurkan Cinta. Keajaiban
Yang tak perlu kau tanya!
Gagak-gagak hinggap di telapak tanganya
Roti masih ditebar. Aku cuba mencelah di
Gerak bayang jubah.
Prof. Madya. Dr. Siti Zainon Ismail
Kosi, India, Mac 1985
Bahasa Daun
Berita dari kota silam sejak Iskanda Agung
membuka kota mencari kota berdirilah bidara amat
rendangnya
kejap dan utuh . Jadilah sebuah negara berwasiatkan
peritiwa Adam usinya lebih 1000 tahun oleh bantuan
malaikat, jin dan syaitan
sekian jumlah negeri menjadi negara – dari kampung kecil
menjelma kota menjadi kota raya, di situ aku kau dia
mereka telah ditakdirkan
lahir di bumi ini setelah lama merdeka
sekelian penduduk asal dan anika bangsa
selalu akur patuh berkasih setia.
Dari negeri pantai menghasilkan sutera
busana raja amat cantiknya
tanpa cacat cela dengan kitab dan para pujangga
belayar sarat bahtera cengkeh dan buah pala
dengan nakhoda tahu arah angin selalu siap siaga
menarik layar merentang benua
lautan bergelora terkenalah negara.
Bumi diberi nama Tanah Melayu
pelbagai nama disebut oleh lidah liat
sebutan Melayu menjadi Melayo
dikata moyang Chen Chung Shin, Mo Lo Yu
digelar Ma Lai Ren atau Wu Ren entah niat hina atau ingin
Terbaik Mo-lo-yeu bisik I Ching
tambah moyang Luka Hakim, Zabartta itulah kota tua
Seriwijaya !
Swarnadhipa bumi emas titah pendeda dengan lidah
Sanskerta
tambah Mills inilah , the empire of Malaios “
Iskandar itulah berdiri
Di bawah lindung malaka dengan tandaka kijan
Tertendanglah anjing rasa. Itulah Janji Demang Lebar Daun
dan Sang Sapura
Sudahkah kau dan anak cucumu mencatat keluasan
Peta bumantara sejakTribuana ingin bermain ke laut dan
darat diseberang
Nila utama melukis singa berwajah manusia ?
Bukalah catatan Luka Hakim kala mendamaikan Raja Qilas
Raja Darab!
Ya sejak dudlu perselisihan pertengkaran sudah mengasam
garam
Luka Hakim sudah mencatat demikian tugasnya si juru
hakim
Penulis rajin dan pintar jua amat adil tidak menerima hibah
Apalagi menggali dan menghimpun harta
Begitulah Luka Hakim bekerjsa siang malam
Akan perjalanan Raja Iskandar
sejak meninggalkan Makduniah
mengambil Khorasan hingga ke Andalas sana !
Bacalah catatan Luka Hakim
“ Ya – dengan akal pintarnya
masuk tanpa niat memerangi
jadi bertambahlah kasih sayang insani…
Pertama,
‘ Bahasa anak bumi, harus dipelajari ‘
Kedua,
‘ Bersuaralah dengan bahasa itu ‘
Ketiga,
‘ Martabatkan bahasa kebangsaan negeri berpanji jati diri ‘
Jadilah bahasa Makduniah berakar dari Yunani – Romawi
brpadu
bahasa Teluk dari Arab-Parsi-Turki
berantaian merumpun di lembah Indus Sanskerta memucuk
hubung
anak jati Sungai Melayu-Jambi
di situ Sang Sapurba dari titih Iskandar berikat janji
dengan bahasa Daun (Demang Lebar Daun)
Luka Hakim masih menatap lembaran silam
negara di landa perang
kasih bahasa batin pecah nurani
manusia bertempur tanpa kata -kata hati
tapi melebihi api sarat dentuman bom dan peluru
bahasa nurani lecur
sabda kehilangan bahasa cinta
Seperti hari ini, bahasa kami
tidak indah berlapis makna pelangi
menjadi paku mengguris batin nurani
waris daunnya koyak
siapakah sudi menjahit luka terkait duri
tanpa mata iri?
Hari merdeka ini
ramahkan ucapan berani
dengan bahasa amat fasihnya
dengan budi ilmu dan cap kanun rasmi
atas nama anak negeri
bahasa merdeka di tanah cinta ibunda
25-28 Ogos 2002
Gerimis Darah Tahun Baru
Siapa lagi yang kau cari
kerana semua telah pergi
puing-puing terbakar
sisa dan bukti kematian
darah kering merembes di tiang-tiang pilar
kaca pecah jendela musnah
rumah impian menjadi debu
dan asap berkepul ke langit jauh
sang bima sakti
dalam jubah dan pedang berkilat
bersimbahan darah
malam kian pekat
gerimis darah membuak !
Pulanglah ke jalan asal
dari mana kau datang
tak siapa sudi menjengukmu
jendela yang ranap
Kecuali mereka yang mewah
masih berpesta pora
dengan tiupan trompet tahun baru
menikmati merakus kemewahan
bersesak di jalan raya
Sang kerdil terus meniup trompet
trompet duka trompet lara
menyiat segala impian
kala tangan sang kuasa
sedia merampas
tertawa dalam wajah topeng
sedang menusuk jarum
mengait kulit sekain lama robek
siapakah kau
hanya kerikil di jalan
dihinjak kaki perkasa
siapa peduli
rintih kesakitan di ulu hati.
Kecuali Kau
Yang menjadikan kami
miskin lara cinta
mereka si kaya gembira
merampas milik kami tanpa peduli
Gerimis darah
terus menyimbah !
Kuningan Jakarta
31 Disember 2001